Senin, 18 Desember 2017

Puisi untuk Pendamaian Dunia, Suara Penyair Wanita Singapura


oleh Sarifah Yatiman (Singapura)

KEJUJURAN
Norulasyikin Jamain

Pabila tiap tanggungjawab kau terima
Demi amanah

Pabila cintamu pada kebenaran
Terlalu halus untuk dikesan

Kemanusiaanmu
Bukan sementara

Kesetiamu
Tidak mengenal kesudahan

Itulah kejujuran
Yang terukir tanpa penghormatan
Yang tersentuh hati mengerti cuma

Teruskanlah
Kerana kejujuran terlalu manis
Untuk dinilai dengan apapun di dunia

BM 26 Mei 2002 (Hadiah persuratan 2003)

Puisi adalah fikiran jiwa penyair. Melalui bahasa yang puitis inilah terungkapnya pesanan/ mesej dan persoalan yang disampaikan. Puisi dapat memberikan kepuasan kerana dapat merakam apa sahaja yang didengar,  dilihat dan dirasakan untuk diolah semula menjadi satu yang tersurat atau pun yang  tersirat. Makanya, puisi berhubung rapat dengan perasaan manusia  dan dengan pelbagai cara pula akan terbentuk puisi  dengan menyuarakan emosi ini melalui luahan kata-kata yang indah.

Puisi Kejujuran karya penyair Singapura Norulasyikin Jamain memberikan gambaran bahawa kejujuran itu perlu, bukan sahaja di dalam penulisan bahkan untuk kehidupan seharian.  Bagaimana pendamaian akan muncul atau wujud jika kejujuran itu sendiri masih jauh dan dipinggirkan.

Isu manusia dan kemanusiaan merupakan antara tema utama dalam puisi. Begitu juga dengan suara-suara penyair wanita Singapura yang akan diketengahkan di sini. Puisi untuk perdamaian dunia. Ramai penyair melahirkan dan mencipta puisi dengan jiwa yang bergelora. Kejadian keganasan, kekejaman yang disiarkan bukan sahaja berlaku di dunia di peringkat antarabangsa juga berlaku dalam masyarakat setempat   di negera sendiri.  Malah  kekadang berlaku di dalam rumahtangga sendiri.

Fenomena umum puisi-puisi Melayu Singapura jarang terlepas dari suara-suara keras dalam diksi-diksi untuk mendatangkan kesan kepada kehampaan dan kekecewaan tentang isu dunia. Namun tidak semua penyair Singapura melahirkan kekecewaan, kemarahan dan kutukan melalui puisi yang bersifat  (marah-marah begini) yang terlalu agresif.

Sebahagian penyair wanita yang dipilih untuk perbincangan hari ini membuktikan bahawa dalam kelembutan dan kesederhanaan pengucapan mereka, membawa pesanan, juga melahirkan keresahan, kekecewaan dan kemarahan.  Sebagai contoh, puisi Di Tengah Alam oleh Professor Dr Hadijah Rahmat menyatakan kekerdilan diri . Tanggapan beliau:-

Petikan
Di Tengah Alam
Aku mesti susur semua pantai, teluk dan lembah
meredah  rimba Afrika dan Sahara
memanjat Everest dan Himalaya, menerjuni Niagara
lalu merenangi Sungai Nil dan Lautan Pasifik
menyelam ke dasar laut Filipina
kemudian terbang ke angkasa melingkari cakerawala
untuk melihat dunia dan isinya.

Bagaimana dan bila
manusia seperti aku dari bangsa kerdil
di tengah negara kecil
akan lebih bererti dan disedari di peta dunia
dapat mengukir sebuah bekas di jalanan sejarah
menggantung sebutir kejora di dada cakerawala
sambil mengecap keredaan Allah!

Apa yang dicari oleh seorang penyair seperti Professor Dr Hadijah Rahmat ini? Tentulah perdamaian dan ketenangan.  Walaupun bersuara tegas, namun kelembutan suara wanita jelas terpancar dalam bait-bait yang diketengahkannya. Jadi yang dicari melalui puisi Di Tengah Alam ialah kesejahteraan. Secara tidak langsung yang dicari ialah ketenteraman.

Setiap penyair menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam cabaran yang besar dan selari  dengan perubahan yang berlaku di sekililingnya. Mereka juga menjalankan  peranan manusia luhur dan sedia berbakti  kepada masyarakat melalui puisi yang dicipta dengan puitis , kreatif melalui pemikiran dan memberi jiwa kepada kehidupan dan keperibadian manusia.

Begitu juga dengan beberapa puisi lain tulisan Norulasyikin Jamain seperti Bosnia, Syria tanpa Suara dan Setia dan Harmoni. Puisi-puisi Norulasyikin Jamain membawa mesej mengenai peperangan dan memerlukan perdamaian.  Malahan pengharapan agar pedamaian yang semakin tipis kembali muncul dan mengembirakan kehidupan.

BOSNIA
darah tumpah di mana-mana
daging tersiat dan tersadai
keamanan sudah lama hilang
tangisan sekadar penyedap rasa
angin tidak lagi mendinginkan
pun panas terlalu lemah untuk menghangatkan
apa lagi perlu dibicara
jika dunia hanya
memejam mata
lalu satu satu gugur
mencium bumi sambail bersujud pada-Nya
kulit ini  sudah hancur
perut ini jauh dari kekenyangan
jantung ini hanya menunggu perhentiannya
tapi tidak iman ini
biar tetap kental di dada

pemandangan zahir ini
terlalu menyeksa batin
hingga bila agaknya
angka kematian bakal menemui titik noktahnya?

BM – Okt 1995

Dalam kelembutan permilihan diksi-diksinya,  ternyata mesej yang diketengahkan mengenai penderitaan mangsa peperangan.

Seorang lagi penyair wanita Singapura, Kamariah Buang juga melahirkan puisi yang mempunyai tema yang serupa iaitu peperangan dan kerinduan pada perdamaian. Petikan puisinya – Demi Gaza II yang disiarkan di BM.
DEMI GAZA II

Yang menanti
Kebebasan itu hadir
Dari kelopak layu
Merayu rayu
Depan tugu

Yang minta di datangkan
Bahagia berterbangan
Berlari mengiring awan-awan
Senyum di bumiku tuan

….
….
Di sini kita mengalih
Pandang memandang
Mengenangkan malammu
Mengenangkan siangmu
Menghadap tuhanmu
Tolong bisikkan
Pada harga kebebasan
Terlalu mahal untuk dijulang

Demi GAZA

Mesej yang ingin diketengahkan ialah pedamaian. Menyeru perdamaian untuk misi menyelamatkan warga negara berkenaan. Walaupun pedamaian hanyalah satu pengharapan, kewujudan hakikinya tiada siapa yang pasti dan dapat menentukan kehadirannya.

Ramai yang menyintai  damai.  Semua orang akan mengharapkan perdamaian akan berpanjangan demi menikmati nikmat  keselesaan tanpa rasa takut dan curiga. Maka peranan media secara langsung menyampaikan perkembangan pergolakan walau di mana sekali pun, akan mendorong dan memberikan inspirasi kepada penyair untuk menyusun diksi-diksi untuk merangkainya menjadi sebuah puisi.

Seorang lagi penyair wanita Singapura yang mempunyai koleksi puisi-puisi bertemakan perdamaian ialah Rasiah Halil. Dari kumpulan puisinya Balada Anak Dagang, diketengahkan puisi beliau berjudul Hikayat Baghdad (ii)

Hikayat Baghdad ( ii  )

Menangislah para ulama silam
pemikir, wali, syuhada
bersemadi di bumi Iraq
bahawa tanah bersejarah ini
semakin dibanjiri darah
semakin dipercatur kuasa
kerana emas hitamnya.
Dan pembunuhan pun berlarutan
bagai dihikayatkan Shehrezad
mungkin melangkau 1001 malam
bersama kesengsaraan
perebutan, api dendam,
sedang yang tepu  menderita
akankah didengar suaranya?

Begitulah suara hati dan luahan rasa penyair mampan Singapura Rasiah Halil. Dihasilkan pada tahun 2004, rasanya puisi ini masih lagi releven sehingga hari ini.

Berdasarkan kepada beberapa contoh dan petikan puisi-puisi penyair wanita Singapura ini, apa yang ingin dikatakan di sini ialah  mencipta puisi yang bertemakan peperangan, keganasan dan keruntuhan sesebuah negara dapat diutarakan dengan bahasa yang puitis dan  indah . Mencari perdamaian bukan mudah tetapi menghasilkan karya puisi untuk  perdamaian adalah bukan mustahil. Tidak perlu puisi-puisi dihasilkan dengan pengucapan bahasa yang kesat yang kaya dengan sifat dan ciri-ciri kemarahan. Penyair wanita Singapura ini dapat membuktikan bahawa dengan pengucapan yang lebih berhemah, puisi-puisi untuk perdamaian dunia masih dapat dihasilkan.


Walau bagaimanapun saya berpendapat bahawa apa yang dihasilkan oleh para penyair sendiri merupakan luahan perasaan dan apa yang terbuku di hati mereka. Tapi dapatkan tindakan diambil atau apakah yang dapat disumbangkan  untuk mencapai perdamaian ini hanya dengan melalui puisi-puisi?

Tidak ada komentar:

Posting Komentar